PUTRAJAYA 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh komitmen dalam memelihara dan mengurus khazanah biodiversiti negara menerusi Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Ke-4 (MBN Ke-4) yang menjadi platform penting penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Yusof, yang turut membincangkan hala tuju strategik serta penggubalan dasar berkaitan pengurusan biodiversiti negara secara lebih mampan dan bersepadu.
Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang menegaskan komitmen kementerian dalam menyokong agenda biodiversiti nasional melalui penerapan amalan mampan dalam keseluruhan rantaian sektor perladangan dan komoditi negara.
Mesyuarat tersebut berfungsi sebagai mekanisme penting bagi memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam memastikan pemuliharaan biodiversiti negara dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berkesan selaras dengan keperluan pembangunan lestari.
-Advertisement-
Kerajaan menekankan bahawa keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar perlu sentiasa dipelihara bagi memastikan sumber semula jadi negara terus memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang.
Usaha ini juga dilihat sejajar dengan agenda nasional untuk memperkukuh daya tahan ekosistem serta memastikan Malaysia kekal komited terhadap amalan pembangunan mampan di peringkat global. – The Capital Post