KPT Perkukuh Pendidikan Prauniversiti di Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

SIBU 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh perancangan pembangunan pendidikan prauniversiti menerusi lawatan kerja dan sesi libat urus bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu, Sarawak bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pelaksanaan program Tingkatan Enam, khususnya di kawasan luar bandar.

Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan itu bertujuan meneliti aspek pengurusan sekolah, keperluan tenaga pengajar serta kebajikan pelajar Tingkatan Enam sebagai persediaan ke arah penambahbaikan sistem pendidikan prauniversiti negara.

Menurut KPT, maklum balas yang diperoleh daripada sesi tersebut amat penting memandangkan Sarawak merupakan negeri kedua tertinggi yang mempunyai Pusat Tingkatan Enam (PTE) di Malaysia dengan sebanyak 79 pusat beroperasi di seluruh negeri. Daripada jumlah itu, 49 pusat atau 62 peratus terletak di kawasan luar bandar melibatkan seramai 10,999 pelajar.

Sesi libat urus dimulakan dengan taklimat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang menyentuh aspek pengoperasian dan pengurusan PTE di negeri berkenaan sebelum diteruskan dengan pembentangan oleh PPD Sibu mengenai struktur pusat pengajian Tingkatan Enam, pengisian guru serta status enrolmen pelajar di daerah tersebut.

-Advertisement-

Turut diadakan ialah sesi perkongsian oleh SMK Methodist Sibu berhubung pelaksanaan Tingkatan Enam Mod 2 yang merangkumi pengurusan akademik, pelaksanaan program pembelajaran serta amalan terbaik yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pendidikan prauniversiti.

KPT memaklumkan bahawa segala dapatan dan pandangan yang diperoleh sepanjang sesi tersebut akan dijadikan asas dalam perancangan pelaksanaan pemindahan tadbir urus program prauniversiti daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada KPT yang akan dilaksanakan secara berperingkat pada masa akan datang.

Usaha berterusan antara KPT dan KPM itu dijangka mampu memperkukuh ekosistem pendidikan prauniversiti negara yang lebih mampan, inklusif dan berimpak tinggi demi melahirkan generasi berpengetahuan serta berdaya saing pada masa hadapan. – The Capital Post