MELAKA 23 Jun 2026 (The Capital Post) – YB Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengedaran Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (KOGMAS) bersempena Siri Jelajah Hebatkan Perniagaan Malaysia Power-Up10K di negeri ini.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada YB Encik Steven Sim Chee Keong untuk meneliti sendiri operasi harian koperasi selain mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai cabaran, keperluan dan potensi pembangunan yang dihadapi oleh pihak pengurusan dalam usaha memperkukuh peranan koperasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi komuniti.
Dalam program yang sama, YB Encik Steven Sim Chee Keong turut menyampaikan cek cura daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada KOGMAS serta Koperasi Serbaguna Tenusu Negeri Melaka Berhad. Bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan keupayaan operasi dan daya saing koperasi agar terus relevan dalam landskap ekonomi semasa.
Menurut kementerian, sokongan yang diberikan bukan sahaja bertujuan memperkukuh kedudukan koperasi sebagai entiti ekonomi yang mampan, malah membantu memperluaskan peluang perniagaan, meningkatkan kesejahteraan anggota serta menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat.
-Advertisement-
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited dalam memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi negara melalui pelbagai inisiatif termasuk kemudahan pembiayaan, program pembangunan kapasiti serta pengukuhan model perniagaan yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah YB Tuan Allex Seah Shoo Chin, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka; YB Tuan Khoo Poay Tiong, Ahli Parlimen Kota Melaka; serta barisan pengurusan kanan KUSKOP dan agensi berkaitan. – The Capital Post