BUDI MADANI Diperkasa Mulai Julai

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerajaan MADANI mengumumkan penambahbaikan program BUDI MADANI yang akan mula dilaksanakan pada 1 Julai 2026 bagi memastikan manfaat subsidi bahan api terus dinikmati golongan yang layak, di samping menjamin kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga negara.

 

Melalui pendekatan baharu itu, pemilik kenderaan diesel persendirian yang memenuhi syarat kelayakan akan dapat membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter. Pada masa sama, harga petrol RON95 bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter akan terus dikekalkan menerusi penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pengagihan subsidi dilakukan secara lebih cekap dan bersasar, sekali gus mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

-Advertisement-

Dalam memastikan sektor-sektor penting negara terus beroperasi dengan lancar, kerajaan turut mengekalkan harga diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 pada kadar RM1.88 seliter. Selain itu, SKDS 2.0 akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan harga diesel ditetapkan pada RM2.15 seliter.

Kerajaan juga mengekalkan subsidi diesel untuk sektor perikanan dengan harga RM1.65 seliter bagi membantu nelayan mengurus kos operasi dan memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.

Penambahbaikan BUDI MADANI ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan subsidi secara lebih adil dan mampan, sambil melindungi kepentingan rakyat, sektor pengangkutan serta aktiviti ekonomi yang menjadi tunjang pertumbuhan negara. – The Capital Post