ASEAN Bincang Agenda Kesihatan 2026-2030

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 23 Jun 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN bagi Pembangunan Kesihatan (SOMHD) Ke-20 serta beberapa mesyuarat berkaitan telah bermula hari ini secara maya dengan Malaysia menerajui sektor kesihatan ASEAN bagi tempoh 2025 hingga 2026.

Mesyuarat peringkat serantau itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab, manakala Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari, mengetuai delegasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Perbincangan tersebut menghimpunkan wakil daripada kesemua 11 negara anggota ASEAN yang menyertai sesi secara dalam talian.

Majlis pembukaan berlangsung dalam format hibrid dengan penyertaan semua focal point SOMHD negara anggota ASEAN secara maya. Pada masa sama, wakil KKM bersama pegawai Sekretariat ASEAN hadir secara fizikal di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat KKM bagi mengikuti perjalanan mesyuarat.

Dalam ucapan pembukaannya, Datuk Dr. Mahathar menekankan kepentingan memuktamadkan Agenda Strategik Kesihatan ASEAN 2026-2030 yang menjadi antara keutamaan utama di bawah kepengerusian Malaysia. Beliau berkata, beberapa siri perbincangan dan mesyuarat persediaan yang berlangsung di Kuala Lumpur dan Jakarta sebelum ini telah membantu memperjelaskan hala tuju kerjasama kesihatan serantau bagi tempoh lima tahun akan datang.

-Advertisement-

Menurut beliau, kerjasama erat antara negara anggota ASEAN amat diperlukan bagi memastikan penggunaan sumber yang lebih berkesan serta pembangunan program kesihatan yang mampan dan responsif terhadap cabaran semasa. Pendekatan itu juga selari dengan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045 serta Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).

Sementara itu, Pengarah Direktorat Pembangunan Manusia Sekretariat ASEAN, Rodora Babaran, turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen berterusan dalam memacu agenda kesihatan serantau dan memperkukuh kerjasama antara negara anggota.

Datuk Dr. Mahathar turut merakamkan penghargaan kepada Sekretariat ASEAN, jawatankuasa penganjur KKM dan semua delegasi yang terlibat atas dedikasi serta komitmen mereka dalam menjayakan mesyuarat tersebut. Beliau menegaskan bahawa walaupun mesyuarat berlangsung secara maya, semangat kerjasama dan iltizam bersama untuk meningkatkan kesejahteraan kesihatan rakyat ASEAN kekal utuh demi mencapai hasil yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan di seluruh rantau ini. – The Capital Post