KUALA LUMPUR 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini menerima kunjungan hormat persaraan daripada Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali di Pejabat Menteri Pertahanan, Wisma Pertahanan.
Kunjungan tersebut diadakan sempena persaraan Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali selepas menabur khidmat selama lebih empat dekad dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta sektor pertahanan negara.
Pertemuan itu turut menjadi platform untuk menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam memperkukuh pembangunan modal insan strategik serta memajukan pendidikan pertahanan negara sepanjang menerajui PUSPAHANAS.
Dalam pertemuan tersebut, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan penghargaan atas dedikasi, komitmen dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam memperkasa institusi pertahanan negara.
-Advertisement-
Beliau turut menyifatkan pengalaman serta kepakaran yang dicurahkan oleh Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali telah memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan sektor pertahanan dan pendidikan strategik negara.
YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut mendoakan agar beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan berterusan serta kejayaan dalam meneruskan kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan rasmi bersama ATM dan PUSPAHANAS.
Majlis kunjungan hormat tersebut mencerminkan penghargaan Kementerian Pertahanan terhadap jasa serta pengorbanan warga pertahanan yang telah banyak menyumbang kepada keselamatan dan kedaulatan negara. – The Capital Post