KUALA LUMPUR 26 Jun 2026, (The Capital Post) – Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah memberikan penjelasan dalam Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat berhubung pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), yang menjadi antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dan pengurusan sempadan negara.
Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan bahawa penubuhan AKPS merupakan langkah penting di bawah Kerajaan MADANI bagi meningkatkan kecekapan kawalan pintu masuk negara, memperkemas penyampaian perkhidmatan penguatkuasaan serta memperkukuh aspek keselamatan dan integriti nasional.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan agensi baharu itu tidak akan menjejaskan kebajikan penjawat awam yang terlibat, selain memastikan hak serta kuasa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak kekal terpelihara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
-Advertisement-
Terdahulu, sesi taklimat kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri telah disampaikan oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), bersama wakil Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta beberapa bahagian berkaitan termasuk keselamatan, perancangan strategik dan komunikasi korporat kementerian.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan sempadan negara secara lebih bersepadu, efisien dan responsif terhadap cabaran semasa. – The Capital Post