DPN Diperkukuh Melalui Libat Urus Industri

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 26 Jun 2026, (The Capital Post) – Kementerian Komunikasi terus mempergiat usaha memperkemas hala tuju sektor penyiaran negara melalui penganjuran Sesi Libat Urus Dasar Penyiaran Negara (DPN) bersama pengurusan tertinggi industri di Dewan Serbaguna, Menara Komunikasi.

Sesi tersebut telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, yang menegaskan kepentingan proses konsultasi bersama pihak industri sebagai sebahagian daripada peringkat akhir penggubalan dasar berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan libat urus ini bertujuan memastikan Dasar Penyiaran Negara yang dirangka kekal relevan, praktikal serta selari dengan perkembangan semasa industri penyiaran, khususnya dalam mendepani perubahan teknologi dan keperluan penonton.

-Advertisement-

Dalam sesi tersebut, penekanan turut diberikan terhadap keperluan kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri bagi membangunkan ekosistem penyiaran yang lebih mampan, inklusif serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Dasar dan Antarabangsa, Zarina Zakaria serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Zainol Haqim Zainol Rashid, yang bersama-sama berkongsi pandangan dalam memperkukuh hala tuju dasar industri penyiaran negara. – The Capital Post