AADK Perkasa Agenda Pencegahan Dadah 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEPALA BATAS 28 Jun 2026 (The Capital Post) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuhkan usaha memerangi penyalahgunaan dadah menerusi pendekatan menyeluruh yang melibatkan pencegahan, penguatkuasaan, rawatan serta pemulihan, selaras dengan tema Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2026, “Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama”.

Majlis sambutan yang berlangsung di Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib. Turut mengiringi beliau ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), YBhg. Dato’ Ruslin bin Jusoh.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Puan Ainah Mohd Soon, serta barisan pegawai kanan kementerian dan agensi.

Kementerian Dalam Negeri menerusi AADK menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan pelaksanaan program antidadah secara holistik dalam usaha melindungi kesejahteraan masyarakat serta memperkukuhkan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah.

-Advertisement-

Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang majlis, termasuk penyampaian Anugerah Tokoh SKUAD Antidadah sebagai penghargaan kepada individu yang aktif menyokong usaha pencegahan dadah, selain pelantikan Rakan Sinergi Pintar AADK dan Rakan Media AADK bagi memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama masyarakat dan organisasi.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Mock Kad Keahlian SKUAD Antidadah sebagai simbolik kepada usaha memperkukuhkan penyertaan sukarelawan dalam menyokong agenda pencegahan dadah di seluruh negara.

Kementerian menegaskan bahawa ancaman dadah bukan sekadar memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah turut memberi implikasi terhadap keselamatan serta pembangunan negara. Justeru, penglibatan aktif semua lapisan masyarakat amat penting bagi memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan secara berkesan demi melahirkan komuniti yang lebih selamat, sihat dan sejahtera. – The Capital Post