KUALA LUMPUR, 28 Jun 2026 (The Capital Post) – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengesahkan akan turun padang membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun tidak meletakkan sebarang calon pada pilihan raya kali ini.
Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, berkata penglibatan parti itu adalah bagi memperkukuh agenda Melayu dan Bumiputera serta memberi sokongan kepada rakan kerjasama dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut beliau, kepimpinan PUTRA akan menyertai pelbagai program kempen termasuk ceramah fizikal, kempen digital dan media sosial di kawasan yang menjemput penyertaan parti itu, terutama melibatkan calon-calon Bersatu.
Beliau berkata, PUTRA kekal berpegang kepada prinsip untuk menyokong mana-mana parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera serta membawa agenda yang selari dengan aspirasi parti.
“PUTRA percaya rakyat di kawasan majoriti Melayu akan membuat pilihan yang bijak dalam memilih wakil rakyat yang mampu membawa suara mereka sepanjang tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
-Advertisement-
Nasrul turut menegaskan kehadiran PUTRA dalam kempen PRN Johor adalah sebagai tanda solidariti terhadap rakan seperjuangan tanpa mencampuri strategi atau perjalanan kempen parti-parti yang bertanding.
Pada masa sama, beliau menegaskan PUTRA tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata demi keuntungan politik.
“Politik yang matang mesti dibina atas asas prinsip, integriti dan kejujuran, bukannya mengamalkan pendekatan ‘matlamat menghalalkan cara’. PUTRA juga tidak mahu dilihat sebagai parti yang hipokrit atau munafik dengan menggadaikan prinsip demi kepentingan jangka pendek,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding dalam PRN Johor dan berharap proses demokrasi itu berlangsung secara aman, harmoni serta mencerminkan kematangan politik demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri itu. – The Capital Post.