MAIWP Salur RM1.5 Juta Untuk Bantuan Guaman Syarie

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 28 Jun 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh agenda pemerkasaan sistem keadilan syariah di negara ini menerusi pelbagai inisiatif termasuk memperluaskan akses kepada bantuan guaman bagi golongan kurang berkemampuan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha memperkukuhkan institusi Mahkamah Syariah merupakan satu perjuangan yang telah melalui proses panjang dan memerlukan kefahaman mendalam, kebijaksanaan serta kesabaran daripada semua pihak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di Putrajaya yang menghimpunkan hakim, peguam syarie serta pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem keadilan syariah negara.

Mengimbas pengalamannya ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri, Anwar berkata beliau pernah bekerjasama rapat dengan Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad Mohamad Ibrahim dalam Badan Perunding Islam bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah melalui cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad sentiasa menekankan kepentingan penguasaan menyeluruh terhadap undang-undang syariah dan undang-undang sivil sebagai asas dalam memperjuangkan kedudukan institusi kehakiman syariah di Malaysia.

-Advertisement-

Anwar turut menegaskan bahawa sebarang usaha memperkasakan undang-undang syariah perlu disertai penerangan yang jelas kepada masyarakat bukan Islam agar mereka memahami bahawa penambahbaikan tersebut tidak akan menjejaskan hak atau urusan agama penganut lain.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi melaksanakan Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS).

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan membantu golongan yang memerlukan, termasuk ibu tunggal dan individu yang tidak berkemampuan, memperoleh khidmat guaman serta pembelaan hak di Mahkamah Syariah tanpa dibebani kekangan kewangan.

Beliau berharap usaha itu dapat memperkukuhkan lagi sistem keadilan syariah negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial supaya setiap rakyat mendapat akses kepada perlindungan undang-undang yang adil dan saksama. – The Capital Post