KPWKM Terima Pengiktirafan Projek RKB

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus mencatat kejayaan dalam agenda reformasi perkhidmatan awam apabila menerima pengiktirafan bagi pelaksanaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berimpak tinggi dalam satu majlis pengiktirafan yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, telah hadir bagi menerima Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan kementerian melaksanakan projek yang meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Majlis tersebut turut menjadi platform penting dalam menghargai sumbangan penjawat awam sebagai pemacu reformasi, selain menggalakkan budaya inovasi, peningkatan produktiviti serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan awam bagi memperkukuh keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Antara projek utama yang menerima pengiktirafan ialah integrasi sistem iSPEKS dan eBantuanJKM yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan kecekapan proses pembayaran Bantuan Am Negeri kepada penerima, sekali gus mempercepatkan penyampaian bantuan kepada golongan sasar.

-Advertisement-

Selain itu, projek Sistem EPESSO di bawah Institut Sosial Malaysia (ISM) turut diiktiraf kerana berjaya memperluas akses pembelajaran dalam bidang kerja sosial melalui pendekatan pendigitalan, yang memberi peluang lebih besar kepada pelajar serta profesional untuk meningkatkan kemahiran dalam sektor perkhidmatan sosial.

Pengiktirafan ini dijangka menjadi pemangkin kepada KPWKM untuk terus memperkukuh Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) melalui penambahbaikan berterusan terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan serta kecekapan sistem pentadbiran negara. – The Capital Post