PRN Melaka: Akmal Sifatkan Isu Najib Bukan Strategi Baharu Kempen Politik

Estimate Reading Time: < 1 minute

MERLIMAU 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kembali menjadi perhatian menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak seharusnya dijadikan modal utama parti politik untuk meraih sokongan pengundi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana pernah dibangkitkan dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan pilihan raya terdahulu boleh dijadikan ukuran untuk menilai sejauh mana isu berkaitan Najib mempengaruhi kecenderungan pengundi.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Merlimau pada Sabtu.

Akmal turut mengingatkan pihak yang menganggap isu Najib mampu menjadi faktor utama kemenangan supaya mengambil kira keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

-Advertisement-

Beliau tiba di pusat mengundi berkenaan kira-kira jam 8.40 pagi dan selesai mengundi sekitar 10 minit kemudian.

Isu Najib kembali menjadi perhatian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah perintah tahanan rumah.

Perintah berkenaan berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028. Bagaimanapun, Najib turut dikenakan beberapa sekatan, termasuk larangan mengeluarkan kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial, menghadiri majlis keramaian serta terbabit dalam aktiviti politik sepanjang tempoh berkenaan. – The Capital Post