PUTRAJAYA 30 Jun 2026, (The Capital Post) – YB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) sebelum menyempurnakan peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030), yang menjadi rangka strategik utama negara ke arah pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital berasaskan data.
Pelan MD2030 dirangka sebagai inisiatif jangka panjang bagi memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi perubahan pesat teknologi termasuk automasi, AI serta cabaran geopolitik dan persaingan ekonomi digital global yang semakin sengit.
Menurut kerajaan, pelaksanaan MD2030 akan memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi bagi memastikan setiap inisiatif digital negara memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, di samping meningkatkan daya saing sektor perniagaan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berteraskan teknologi menjelang 2030.
Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pembangunan sistem perkhidmatan digital kerajaan secara dalaman di bawah penyelarasan Jabatan Digital Negara, bagi memastikan aspek keselamatan dan kedaulatan data negara terus terpelihara.
-Advertisement-
Pendekatan itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta memperkukuh kepakaran digital dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem digital sektor awam yang lebih mampan dan berdaya tahan.
MD2030 akan menjadi antara agenda utama negara dalam mempercepat transformasi digital Malaysia, sekali gus mengubah landskap penyampaian perkhidmatan kerajaan dan cara kerja sektor awam serta swasta ke arah yang lebih moden dan berasaskan teknologi. – The Capital Post