Baucar MADANI, Nama Baharu Dasar Lama? Wee Ka Siong Sindir Kerajaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2026 (The Capital Post) – Ahli Parlimen Ayer Hitam merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyindir kerajaan berhubung pelaksanaan Baucar Buku MADANI dengan menyifatkannya sebagai kesinambungan kepada Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang diperkenalkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun hanya diberikan penjenamaan baharu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Wee berkata beliau menyaksikan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, mengenai Baucar Buku MADANI di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, kedua-dua wakil rakyat berkenaan merupakan pemimpin daripada DAP.

“Bila sebut Baucar Buku MADANI, saya teringat Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak 2012,” katanya.

Wee berkata ketika BN memperkenalkan BB1M dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pelbagai kritikan dilemparkan termasuk dakwaan ia bersifat populis dan bermotif politik. Bagaimanapun, beliau mendakwa dasar-dasar berkenaan diteruskan oleh kerajaan hari ini dengan hanya menukar nama.

“Kami di BN tidak ada masalah, malah gembira apabila dasar yang kami perkenalkan diteruskan demi kepentingan rakyat. Apa yang kurang boleh ditambah baik mengikut keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sindiran terhadap pihak yang sebelum ini mengkritik dasar-dasar tersebut.

-Advertisement-

“‘Moral of the story’ – jangan bangkang hanya kerana mahu membangkang. Dulu kutuk dan keji, sekarang buat, tukar nama sahaja,” katanya.

Dalam hantaran sama, Wee turut menyentuh isu cukai kepenggunaan dengan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Menurut beliau, GST diiktiraf sebagai sistem percukaian yang lebih baik serta kurang membebankan rakyat berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), merujuk kepada Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan.

Mengakhiri kenyataannya dengan nada sinis, beliau berkata kerajaan juga boleh menukar nama GST sekiranya mahu meneruskannya.

“Nak tukar nama pun boleh, cukai MADANI barangkali?” katanya.

Wee merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam sejak 2004 dan Presiden MCA, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan dan kini merupakan antara Ahli Parlimen Barisan Nasional di Dewan Rakyat. – The Capital Post.