PUTRAJAYA 1 Julai 2026, (The Capital Post) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima pengiktirafan dalam kategori Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) menerusi projek MyCIEDS pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sekali gus mengiktiraf usaha jabatan itu dalam mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, manakala Tuan Durairajoo A/L Muniandy hadir mewakili jabatan bagi menerima pengiktirafan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi diadakan sebagai platform menghargai kementerian dan agensi kerajaan yang berjaya melaksanakan inisiatif reformasi bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan produktiviti serta memperbaiki kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Antara acara utama yang berlangsung termasuk penyampaian Sijil Penghargaan Pasukan Paradoks Produktiviti AI, penyampaian hadiah Pertandingan Liputan Media serta penyampaian Sijil Penghargaan Reformasi Kerenah Birokrasi kepada penerima yang berjaya melaksanakan projek berimpak tinggi.
-Advertisement-
JKDM di bawah Kementerian Kewangan menerima pengiktirafan menerusi projek MyCIEDS bertajuk “Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Penghantaran Dokumen Sokongan bagi Barang Kastam Berkaitan Import/Eksport” (No. Siri: RKB00180), yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses pengurusan dokumen bagi meningkatkan kecekapan urusan perdagangan dan perkhidmatan kastam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Anizal bin Zainal Abidin bersama Ketua Projek MyCIEDS, Tuan Mohamad Faizul bin Abdul Latiff, serta pegawai-pegawai lain yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan. – The Capital Post