PONTIAN 3 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus mempererat hubungan dengan komuniti setempat melalui penganjuran Program Ramah Mesra bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan masyarakat Daerah Pontian, Johor yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Program tersebut disertai oleh YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, yang menekankan kepentingan peranan RELA sebagai salah satu entiti sukarelawan utama di bawah KDN dalam membantu menjaga keselamatan, kesejahteraan serta keharmonian komuniti setempat.
Dalam ucapan beliau, Shamsul Anuar menjelaskan bahawa kerjasama erat antara KDN, RELA dan masyarakat amat penting dalam memperkukuh sistem keselamatan komuniti serta meningkatkan tahap kepercayaan awam terhadap peranan agensi keselamatan di peringkat akar umbi. KDN juga kekal komited untuk terus menyokong penglibatan sukarelawan dalam pelbagai inisiatif sosial dan keselamatan.
-Advertisement-
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kebajikan kepada tiga anggota RELA Daerah Pontian sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka, khususnya dalam menghadapi cabaran kesihatan namun tetap komited melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Program ini mencerminkan usaha berterusan KDN dalam mendekati komuniti serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan dan rakyat demi kesejahteraan bersama. – The Capital Post