KUALA LUMPUR 5 Julai 2026 (The Capital Post) – Industri hiburan Malaysia dijangka memasuki fasa lebih global apabila Starwave Entertainment memperkukuh peranannya sebagai penghubung antara bakat tempatan dan pasaran antarabangsa melalui pembangunan harta intelek (IP) baharu serta kerjasama strategik bersama pemain industri luar negara.
Syarikat itu mengumumkan pembangunan sebuah program realiti baharu berjudul The Apex, yang akan mengetengahkan konsep pertandingan sukan tempur berskala global melibatkan peserta amatur dari pelbagai negara dan latar belakang. Program berkenaan direka untuk memaparkan bukan sahaja aksi perlawanan tinju dan pusingan penyingkiran, tetapi juga perjalanan peribadi setiap peserta termasuk pengorbanan, disiplin serta cabaran hidup yang membentuk kekuatan mental dan fizikal mereka.
Menurut Starwave Entertainment, rancangan tersebut turut memberi tumpuan kepada aspek penceritaan manusia di sebalik sukan tempur, dengan menonjolkan semangat dan ketahanan diri peserta dalam mengejar impian untuk menjadi juara. Pemenang akhir bakal menerima hadiah utama serta peluang pendedahan lebih luas dalam industri sukan tempur antarabangsa.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk mendapatkan penyertaan seorang petinju bertaraf dunia dalam program berkenaan, namun butiran lanjut hanya akan diumumkan selepas semua rundingan dimuktamadkan.
Penggambaran The Apex akan dijalankan di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada penglibatan tenaga kreatif tempatan termasuk kru produksi dan rakan industri. Inisiatif ini juga dilihat sebagai usaha mengangkat kandungan hiburan buatan Malaysia ke peringkat global dengan gabungan kepakaran tempatan dan standard produksi antarabangsa.
-Advertisement-
Projek tersebut turut melibatkan barisan kreatif antarabangsa termasuk Bobby Kim selaku Pengarah Kreatif yang pernah terlibat dalam Physical: 100 dan Culinary Class Wars, Park Sangmin sebagai penerbit dan pengarah yang mempunyai pengalaman dalam produksi K-pop seperti MAMA serta projek kumpulan SEVENTEEN, Ritto Prabu sebagai penerbit VFX dengan pengalaman dalam produksi filem antarabangsa, serta Asher Yeap yang berperanan sebagai penerbit eksekutif dan pengarah kreatif dalam bidang hiburan realiti.
Starwave Entertainment dalam masa sama sedang melaksanakan inisiatif pengumpulan dana bagi menyokong pembangunan projek hiburan masa depan termasuk The Apex, dengan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Pihak syarikat turut membuka peluang kepada pelabur, rakan strategik dan pemain industri untuk bekerjasama melalui saluran rasmi yang disediakan. – The Capital Post