KUALA LUMPUR 11 Julai 2026 (The Capital Post) – Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin sektor perbankan, audit dan kawal selia menerusi Persidangan Perbankan Malaysia Ke-4 (MBC 4.0) serta Persidangan Audit Bank Ke-2 (BAC 2.0) bagi membincangkan pengukuhan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dipercayai, tadbir urus berkesan serta pembangunan bakat bersedia menghadapi perubahan masa hadapan.

Persidangan tersebut berlangsung ketika industri kewangan Malaysia terus mempercepatkan transformasi digital di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan, dengan institusi perbankan kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan AI secara lebih bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran seperti risiko siber, perubahan iklim, keperluan kawal selia serta ketidaktentuan ekonomi global.
MBC 4.0 dan BAC 2.0 yang berlangsung di bawah tema Banking Reimagined: AI, Trust and the Future of Finance serta Audit Reimagined: Innovation, Trust and the Future of Assurance memberi tumpuan kepada peranan teknologi, keselamatan siber, kemampanan, tadbir urus dan transformasi tenaga kerja dalam membentuk masa depan sektor perbankan serta fungsi audit.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Salah satu agenda utama persidangan ialah pelancaran laporan AICB-Ecosystm AI in Practice: How Malaysia’s Banks & DFIs are Adopting and Governing AI yang dihasilkan melalui kerjasama antara AICB, Ecosystm dan Chief Risk Officers’ Forum AICB.

Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim, FCB, menyampaikan ucapan alu-aluan beliau pada Persidangan Perbankan Malaysia Ke-4 (MBC 4.0) dan Persidangan Audit Bank Ke-2 (BAC 2.0).
Laporan tersebut berdasarkan maklum balas daripada hampir 90 pemimpin kanan institusi kewangan termasuk bank perdagangan, bank digital dan institusi kewangan pembangunan di Malaysia, yang menyediakan gambaran menyeluruh mengenai tahap penggunaan AI, kesiapsiagaan organisasi serta amalan tadbir urus teknologi berkenaan dalam industri perbankan tempatan.
Dapatan laporan menunjukkan AI kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk proses pengesahan pelanggan (KYC), pengesanan penipuan, pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT), selain membantu meningkatkan produktiviti tenaga kerja.
Bagaimanapun, hanya 25 peratus daripada responden menyatakan tahap keyakinan tinggi terhadap hasil analisis AI untuk digunakan dalam membuat keputusan perniagaan kritikal. Keadaan ini menunjukkan industri sedang bergerak daripada fasa percubaan kepada penggunaan AI berskala besar yang memerlukan tahap kepercayaan, kawalan dan jaminan lebih kukuh.
-Advertisement-
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rangka kerja tadbir urus AI yang dibangunkan oleh Forum Ketua Pegawai Risiko AICB dengan sokongan Bank Negara Malaysia menunjukkan komitmen industri dalam menetapkan piawaian serta tanggungjawab berkaitan penggunaan teknologi tersebut.
Menurut beliau, pendekatan diterajui industri membolehkan kepercayaan terhadap AI dibangunkan melalui sistem perbankan itu sendiri dan bukan hanya bergantung kepada kawalan luaran.
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inovasi bukan sekadar berkaitan penggunaan teknologi tetapi turut melibatkan aspek kepimpinan dan tadbir urus bagi memastikan sistem kewangan kekal diyakini serta memenuhi keperluan masyarakat.
Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim pula menegaskan bahawa pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat dan kecemerlangan profesional amat penting bagi membina institusi kewangan yang berdaya tahan serta mampu menghadapi perubahan teknologi yang pantas.
Selain penerapan AI, pembangunan tenaga kerja turut menjadi fokus utama persidangan susulan perubahan besar dalam keperluan kemahiran akibat automasi dan teknologi digital.
Menurut Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum, hampir 39 peratus kemahiran utama pekerja dijangka berubah menjelang tahun 2030 berikutan perkembangan AI dan automasi. Selari dengan trend tersebut, tinjauan AICB pada Julai 2025 melibatkan 99 institusi kewangan mendapati 67 peratus organisasi menilai tahap keupayaan tenaga kerja mereka berada pada tahap sederhana dalam memenuhi keperluan kemahiran masa hadapan.
Tinjauan berkenaan turut mengenal pasti bidang risikan ancaman keselamatan siber sebagai antara sektor yang paling memerlukan pembangunan bakat, diikuti bidang sains data.
Melalui inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel, AICB terus memperkukuhkan usaha melahirkan profesional perbankan yang mempunyai kemahiran relevan, sekali gus meningkatkan daya tahan dan daya saing sektor kewangan Malaysia.
MBC 4.0 dan BAC 2.0 menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama industri, perkongsian ilmu serta perbincangan strategik berkaitan cabaran utama seperti tadbir urus AI, keselamatan siber, risiko iklim dan kesiapsiagaan bakat bagi memastikan sektor kewangan negara terus inovatif serta dipercayai. – The Capital Post