KUALA LUMPUR 12 Julai 2026 (The Capital Post) – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) bakal melancarkan Kad Kredit-i Lite, sebuah kad kredit patuh Syariah yang direka bagi memperluaskan akses kepada kemudahan kredit mampu milik serta menyokong pengurusan kewangan harian rakyat Malaysia.
Kad yang dijangka mula ditawarkan pada Oktober 2026 itu dibangunkan khusus untuk pengguna yang memerlukan kemudahan kredit yang mudah, praktikal dan berpatutan tanpa ciri tambahan yang tidak diperlukan. Ia menyasarkan golongan yang ingin mengurus perbelanjaan harian dan keperluan aliran tunai jangka pendek dengan lebih berkesan.
Antara kelebihan utama Kad Kredit-i Lite ialah tiada yuran tahunan, kadar keuntungan tetap serendah 14 peratus setahun, keuntungan tidak dikompaun, kadar pendahuluan tunai yang lebih rendah serta struktur pembiayaan yang ringkas dan mudah difahami.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pelancaran kad tersebut mencerminkan komitmen CIMB dalam memperkukuh keterangkuman kewangan dengan menyediakan akses yang lebih luas kepada penyelesaian kewangan yang praktikal dan berkos rendah.
Menurut beliau, inisiatif itu selaras dengan aspirasi CIMB untuk memperkasa pelanggan dan masyarakat melalui penyediaan produk yang membantu rakyat Malaysia membina daya tahan kewangan serta mengurus keperluan kewangan harian dengan lebih yakin.
Beliau berkata Kad Kredit-i Lite turut melengkapkan pelbagai inisiatif CIMB yang memfokuskan kepada kesejahteraan kewangan pelanggan, termasuk Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS, Solusi Pembiayaan Kereta Pertama, Akaun Gaji dengan perlindungan Takaful serta pengecualian fi bagi pengeluaran antara bank.
Kad tersebut menggunakan konsep Tawarruq seperti produk kad kredit Islamik CIMB yang lain, sekali gus memastikan keuntungan dikira tanpa kaedah kompaun. Pemegang kad juga tidak akan dikenakan kadar keuntungan sekiranya menjelaskan baki tertunggak sepenuhnya sebelum tarikh akhir pembayaran.
-Advertisement-
Selain itu, had kredit akan ditentukan berdasarkan profil kewangan pemegang kad bagi menggalakkan penggunaan kredit secara berhemat serta bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, terdapat segmen pelanggan yang lebih memerlukan kemudahan kredit asas yang selamat dan mampu milik berbanding ganjaran premium atau manfaat gaya hidup.
Beliau berkata Kad Kredit-i Lite dibangunkan untuk memenuhi keperluan golongan tersebut dengan menawarkan kemudahan kredit yang boleh dipercayai bagi mengurus perbelanjaan harian, memenuhi keperluan kewangan jangka pendek serta membina profil kredit yang sihat.
Menurut beliau, keterangkuman kewangan bermaksud memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh akses kepada produk kewangan yang praktikal dan mampu milik bagi membantu mereka mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.
Pelancaran Kad Kredit-i Lite turut memperkukuh komitmen jenama CIMB menerusi aspirasi “Moving You Forward” yang memberi penekanan kepada penyediaan penyelesaian kewangan yang mudah diakses dan bermakna kepada pelanggan serta masyarakat.
Sebagai antara institusi kewangan terbesar di ASEAN, CIMB terus memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatannya bagi memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia serta pasaran serantau melalui penyelesaian kewangan yang inovatif dan inklusif. – The Capital Post