MINDEF Perkukuh Kerjasama Pertahanan di FIA 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

UNITED KINGDOM 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneruskan siri libat urus strategik bersama syarikat peneraju industri pertahanan dan aeroangkasa dunia sempena Farnborough International Airshow (FIA) 2026 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara serta pembangunan industri pertahanan tempatan.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan Aris, yang mengadakan beberapa perbincangan dua hala pada hari kedua penganjuran FIA 2026.

Antara syarikat yang terlibat dalam sesi libat urus tersebut ialah IPT, Gulfstream, Korea Aerospace Industries (KAI), RTX Pratt & Whitney, Turkish Aerospace Industries, Saab, Rolls-Royce dan Lockheed Martin, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi pertahanan dan aeroangkasa di peringkat antarabangsa.

Perbincangan memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan program kerjasama sedia ada, status perolehan aset pertahanan, perkembangan teknologi terkini, penyelenggaraan serta sokongan kitar hayat aset ketenteraan. Selain itu, kedua-dua pihak turut meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu meningkatkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

-Advertisement-

MINDEF turut menekankan kepentingan kerjasama dengan rakan industri global dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara di samping merancakkan pembangunan industri pertahanan tempatan melalui pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran dan kerjasama strategik jangka panjang.

Siri pertemuan di FIA 2026 mencerminkan komitmen berterusan MINDEF untuk memperkukuh hubungan dengan pemain industri pertahanan antarabangsa selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dalam membina ekosistem pertahanan yang lebih mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan. – The Capital Post