JKKP Lancar ICOP PMS Untuk Perkukuh Keselamatan Loji

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia melancarkan Tataamalan Industri bagi Sistem Pengurusan Loji (ICOP PMS) di bawah Skim Pemeriksaan Khas Kelas B sebagai usaha memperkukuh pengurusan keselamatan, integriti aset dan tadbir urus operasi industri negara.

Majlis peluncuran yang berlangsung di Four Seasons Kuala Lumpur itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah JKKP Malaysia, YBrs. Ir. Ts. Hajah Hazlina Yon, serta turut dihadiri oleh Naib Presiden PETRONAS Group HSE, YBrs. Encik Zamri Japar.

Pelaksanaan ICOP PMS dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkenalkan pendekatan pengurusan loji yang lebih tersusun, berasaskan risiko serta mengambil kira keseluruhan kitar hayat aset bagi memastikan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan operasi berada pada tahap optimum.

Melalui tataamalan tersebut, pihak industri akan diberi panduan untuk melaksanakan Plant Management System (PMS) secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan, penyelenggaraan, pemantauan serta pengurusan risiko bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian loji.

-Advertisement-

JKKP Malaysia memaklumkan bahawa ICOP PMS turut berperanan membantu industri memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selain memperkukuh budaya keselamatan di tempat kerja.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JKKP dalam membangunkan ekosistem industri yang lebih selamat, sistematik dan mampan, sekali gus melindungi kebajikan pekerja, menjamin kesinambungan operasi serta menyokong kemajuan ekonomi negara. – The Capital Post