LANGKAWI 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor pelancongan menerusi penganjuran Mesyuarat Task Force Kedua mengenai Kerjasama Pelancongan yang berlangsung di Langkawi.
Mesyuarat anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, H.E. Mrs. Natthira Phaengkhun.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kerjasama Pelancongan Malaysia–Thailand 2025–2027, selain memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara dalam membangunkan sektor pelancongan serantau.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Thailand, memperkemas perjalanan rentas sempadan serta memperkenalkan inisiatif yang dapat memudahkan pergerakan pelancong antara kedua-dua negara.
-Advertisement-
Mesyuarat itu turut memberi penekanan kepada pembangunan sektor pelancongan yang lebih mampan dan berdaya tahan, sejajar dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memperkukuh pertumbuhan industri pelancongan dalam jangka panjang.
Thailand kekal menjadi antara pasaran pelancongan utama bagi Malaysia, justeru MOTAC komited meneruskan kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi memperkukuh hubungan pelancongan serta meningkatkan interaksi antara rakyat kedua-dua negara.
Mesyuarat berkenaan turut disertai wakil daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Imigresen Malaysia serta Tourism Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Thailand dalam merealisasikan landskap pelancongan ASEAN yang lebih bersepadu dan dinamik. – The Capital Post