PUTRAJAYA 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Kempen Antibuli PEKARASA: Henti Buli, Mula Peduli dilancarkan sebagai usaha bersepadu pelbagai kementerian dan agensi dalam menangani isu buli serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, inklusif dan sejahtera khususnya bagi kanak-kanak serta golongan remaja.
Kempen tersebut mengangkat pendekatan Sedar, Peduli dan Bertindak dengan mengajak seluruh lapisan masyarakat memainkan peranan dalam membentuk budaya saling menghormati, prihatin dan bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan generasi muda terus terpelihara.
Majlis peluncuran kempen yang berlangsung pada 22 Julai 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari. Turut hadir mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tuan Haji Mohd Hanafi Samad.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, KPM menegaskan komitmen untuk memperkukuh pembangunan sahsiah murid, meningkatkan kesejahteraan warga sekolah serta membina budaya pendidikan yang lebih selamat menerusi pendekatan Pendidikan Manusiawi.
-Advertisement-
Kempen PEKARASA diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesan negatif gejala buli, selain menggalakkan tindakan pencegahan dan sokongan bersama dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Kerjasama rentas kementerian dan agensi melalui kempen ini menjadi langkah penting dalam memastikan kanak-kanak dan remaja mendapat ruang untuk berkembang dalam suasana yang bebas daripada ancaman buli serta dipenuhi nilai empati dan kepedulian. – The Capital Post