AI Ubah Peranan Universiti, Kata Zambry

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEPANG 23 Julai 2026 (The Capital Post) – Kecerdasan buatan (AI) tidak akan menggantikan peranan institusi pengajian tinggi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan yang menuntut universiti melahirkan graduan berupaya mencipta peluang, memacu inovasi dan membentuk masa depan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata perubahan pesat dalam teknologi, dunia pekerjaan dan kaedah pembelajaran memerlukan institusi pengajian tinggi beralih daripada sekadar menghasilkan tenaga kerja kepada membentuk individu yang mempunyai kebijaksanaan, keupayaan menyesuaikan diri, kepimpinan beretika serta semangat pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Presiden Agensi Kelayakan Malaysia bagi Universiti 2026 (Malaysian Qualifications Agency Presidents’ Forum for Universities 2026) yang berlangsung di Sepang.

Menurut beliau, AI mampu menjana maklumat, memproses data dan mengautomasikan pelbagai tugasan, namun teknologi itu tidak dapat menggantikan kebijaksanaan manusia, pertimbangan yang beretika serta nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada pembangunan masyarakat.

Zambry turut menegaskan bahawa ukuran kejayaan sesebuah universiti pada masa hadapan tidak lagi bergantung semata-mata kepada kadar kebolehpasaran graduan, sebaliknya sejauh mana graduan mampu menyelesaikan masalah kompleks, memimpin masyarakat, mencipta peluang ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan negara.

-Advertisement-

Beliau turut menekankan kepentingan jaminan kualiti sebagai aset strategik negara kerana kepercayaan terhadap sistem pendidikan tinggi menjadi faktor utama dalam memperkukuh pengiktirafan kelayakan akademik, meningkatkan mobiliti pelajar serta memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi.

Dalam pada itu, Malaysia akan terus memperluas kerjasama pendidikan tinggi di peringkat ASEAN melalui perkongsian ilmu, pengiktirafan kelayakan, penyelidikan rentas sempadan dan kepimpinan bersama bagi membina ekosistem pendidikan tinggi serantau yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Forum anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu menghimpunkan pemimpin universiti, agensi jaminan kualiti, pembuat dasar serta wakil industri dari negara-negara ASEAN untuk membincangkan isu kebolehpasaran graduan, transformasi digital, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai agenda utama pembangunan pendidikan tinggi serantau. – The Capital Post