SEGAMAT 24 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysia Techlympics 2026 Zon Selatan menjadi platform mencungkil bakat dan kreativiti generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) apabila menghimpunkan ribuan peserta dari Johor dan Melaka dalam pertandingan saringan peringkat zon.
Majlis perasmian penutupan program yang berlangsung selama dua hari di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Segamat telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.
Penganjuran Malaysia Techlympics 2026 merupakan inisiatif MOSTI untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan pelajar serta belia menerusi pendekatan pembelajaran secara praktikal, berasaskan pengalaman dan pertandingan yang menggalakkan pemikiran kritikal serta inovasi.
Seramai 2,300 peserta daripada 135 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor dan Melaka mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut bagi merebut peluang beraksi di Peringkat Akhir Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada November 2026 di MAEPS, Serdang, Selangor.
-Advertisement-
Dalam ucapannya, Dr. Nagulendran berkata Malaysia Techlympics berperanan sebagai platform pembangunan bakat yang inklusif dengan memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk mengembangkan potensi dalam bidang STEM.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, edisi tahun ini turut memberi penekanan kepada bidang kecerdasan buatan (AI), pengekodan, pengkomputeran dan teknologi dron. MOSTI turut memperkenalkan dua pertandingan baharu berasaskan AI, iaitu AI Vibe Coding Drone dan Cabaran FC-1 Vibe AI, bagi meningkatkan pendedahan awal peserta terhadap teknologi masa hadapan.
Selain menyempurnakan majlis, Ketua Setiausaha MOSTI turut melawat reruai pameran bagi meninjau projek serta inovasi yang dipamerkan oleh peserta. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Dato’ Ruziah Shafei bersama tetamu jemputan lain. – The Capital Post