Dr. Wan Azizah Rasmi Jelajah AI MyMahir

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 24 Julai 2026 (The Capital Post) – Program Jelajah AI MyMahir (JAM) anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terus memperkukuh usaha meningkatkan literasi dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan rakyat apabila menghimpunkan lebih 6,000 peserta di Bandar Tun Razak.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selepas beliau menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Jabatan Pendidikan Daerah Bangsar/Pudu.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Haji Azman Abidin, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Puan Biruntha Mooruthi.

Menurut Dr. Wan Azizah menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, Jelajah AI MyMahir merupakan inisiatif yang bertujuan memperkukuh literasi dan kemahiran AI dalam kalangan masyarakat sebagai persediaan menghadapi keperluan Revolusi Industri 4.0 serta perkembangan ekonomi digital.

Beliau berkata program itu memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk meningkatkan pengetahuan, menguasai kemahiran baharu serta memperkukuh daya saing dalam pasaran pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.

-Advertisement-

Dr. Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia, TalentCorp, rakan strategik, para fasilitator dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program tersebut.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat, khususnya warga Bandar Tun Razak, akan memanfaatkan inisiatif seumpama ini bagi meningkatkan kemahiran digital serta merebut peluang baharu dalam era pendigitalan dan kecerdasan buatan.

Kenyataan ini adalah berdasarkan hantaran yang dimuat naik oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerusi akaun Facebook rasmi beliau. – The Capital Post