PUTRAJAYA 24 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menerima pengiktirafan menerusi Kempen Cashless Boleh 5.0 selepas mencatatkan pencapaian cemerlang dalam memperluas penggunaan pembayaran tanpa tunai.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK) mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha MITI, YBhg. Datuk Hairil Yahri Yaacob serta Ketua Eksekutif PTPK, YBrs. Encik Mohd Fathullah Mustafa sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan kedua-dua organisasi dalam kempen berkenaan.
Pelaksanaan Kempen Cashless Boleh 5.0 yang dijalankan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bertujuan memperkukuh penerapan pembayaran digital dalam sektor awam selaras dengan usaha kerajaan mempercepat agenda pendigitalan perkhidmatan.
MITI berjaya meraih kategori ‘Excellence Award’, manakala PTPK menerima pengiktirafan bagi kategori ‘Federal Government (50K-100K Transaction)’. Kedua-dua agensi tersebut mencatatkan kadar transaksi tanpa tunai melebihi 99 peratus sepanjang tempoh kempen berlangsung.
-Advertisement-
Pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi MITI dan PTPK dalam mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui penggunaan teknologi digital yang lebih pantas, selamat dan telus kepada pengguna.
Dalam kunjungan tersebut, penyampaian hadiah kemenangan telah disempurnakan oleh delegasi MoF yang diketuai Ketua Seksyen E-Pembayaran dan Projek Khas ICT, BKSK, Puan Siti Khatijah Hamzah kepada wakil MITI dan PTPK sebagai penghargaan atas pencapaian yang diperoleh.
Kejayaan ini membuktikan usaha berterusan agensi kerajaan dalam memperluas ekosistem pembayaran digital serta menyokong transformasi perkhidmatan awam yang lebih moden dan efisien. – The Capital Post