PUTRAJAYA 24 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan usaha memperkukuh kepakaran tenaga kesihatan negara apabila seramai 342 pegawai dipilih mengikuti Latihan Program Kepakaran Lanjutan (Subkepakaran) menerusi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) bagi sesi 2026/2027.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob telah menghadiri sesi taklimat dan menyampaikan amanat kepada para peserta dalam program yang berlangsung di Auditorium Perdana, Kompleks Setia Perdana, Jabatan Perdana Menteri.
Daripada jumlah tersebut, seramai 304 pegawai adalah daripada Program Perubatan, 25 pegawai mewakili Program Kesihatan Awam dan 13 pegawai daripada Program Kesihatan Pergigian. Kesemua peserta akan menjalani latihan sama ada sepenuhnya di dalam negara, di luar negara atau secara gabungan mengikut bidang subkepakaran masing-masing.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Azman merakamkan penghargaan kepada Ketua-Ketua Kepakaran serta Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP), Bahagian Perkembangan Kesihatan Keluarga (BPKK), Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (BPKA), Program Kesihatan Pergigian dan Bahagian Pengurusan Latihan (BPL) atas kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan program tersebut.
-Advertisement-
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang berjaya menerima Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dengan Hadiah Latihan Persekutuan dan berharap mereka memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaiknya, menamatkan latihan mengikut tempoh yang ditetapkan serta kembali berkhidmat dengan kepakaran yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan negara.
Sesi berkenaan turut memberi peluang kepada beliau untuk beramah mesra dan berinteraksi dengan pegawai yang bakal memulakan latihan subkepakaran sebagai persediaan menghadapi cabaran dalam bidang kepakaran masing-masing.
Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan, Puan Emillia Rosnizar Ahmad Hanipiah; Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan, YBrs. Tuan Noorul Habib Abdul Guduse; serta wakil daripada Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Kesihatan Pergigian. – The Capital Post