MiDAS Perkukuh Literasi Pertahanan Komuniti Pulau Banggi

Estimate Reading Time: < 1 minute

SABAH 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Kementerian Pertahanan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertahanan negara menerusi Program Jelajah Cakna Pertahanan yang berlangsung di Pulau Banggi dari 22 hingga 24 Julai 2026.

Program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan literasi pertahanan dalam kalangan masyarakat, khususnya komuniti di kawasan sempadan yang mempunyai kepentingan geostrategik dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program termasuk Sesi Townhall bertajuk “Kedaulatan Pulau Banggi: Memperkasa Komuniti Sempadan, Mempertahan Kedaulatan Negara”, Program Bicara Pertahanan “Bicara Pertahanan Bermula dari Rumah”, Program Misi Cilik: Sayangi Negara serta tayangan khas filem PASKAL.

Inisiatif tersebut melibatkan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, anggota keselamatan, pemimpin komuniti, ibu bapa, pelajar serta masyarakat setempat dalam usaha memperkukuh semangat patriotisme dan membina kefahaman bersama mengenai peranan rakyat dalam mempertahankan negara.

-Advertisement-

Pendekatan berasaskan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS) yang diterapkan menerusi program ini turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat dalam membentuk komuniti yang lebih bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa.

Selain itu, pelaksanaan Jelajah Cakna Pertahanan turut memperkukuh elemen Kerjasama Awam Tentera (Civil-Military Cooperation – CIMIC) melalui hubungan lebih erat antara pasukan keselamatan dan komuniti setempat.

Kementerian Pertahanan menegaskan komitmen berterusan untuk membina masyarakat yang cakna, berdaya tahan dan menjadi rakan strategik pertahanan negara demi memastikan keamanan serta kedaulatan Malaysia terus dipelihara. – The Capital Post