Universiti MAHSA Lancar Pusat Persijilan Mikro

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LANGAT 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Universiti MAHSA melancarkan Pusat Persijilan Mikro (Micro-Credential Centre) sebagai langkah menyokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyediakan peluang peningkatan kemahiran yang lebih fleksibel dan menepati keperluan industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menekankan keperluan institusi pendidikan tinggi berkembang sebagai pusat pembelajaran yang lebih anjal, inklusif dan responsif terhadap perubahan teknologi serta kehendak pasaran kerja.

Menurut beliau, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi baharu memerlukan universiti menyediakan platform pembelajaran berterusan agar graduan serta tenaga kerja sentiasa relevan dalam landskap pekerjaan yang berubah dengan pantas.

Beliau berkata universiti masa kini bukan sahaja berperanan menghasilkan graduan untuk memasuki alam pekerjaan, malah perlu membuka ruang kepada masyarakat dan golongan profesional untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran serta melanjutkan pembelajaran sepanjang hayat.

Persijilan mikro yang ditawarkan menerusi pusat tersebut bukan bertujuan menggantikan kelayakan akademik sedia ada, sebaliknya melengkapkan individu dengan kemahiran khusus yang diperlukan industri melalui program berkualiti serta kelayakan digital yang diiktiraf.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Persijilan Mikro Universiti MAHSA yang menyediakan pembelajaran berasaskan industri kepada pelajar, golongan profesional dan individu yang ingin meningkatkan kompetensi masing-masing.

-Advertisement-

Tambah beliau, penubuhan pusat berkenaan membuktikan kesediaan institusi pendidikan tinggi swasta menyokong agenda nasional PSH melalui penyediaan laluan pembelajaran yang boleh digabungkan dengan kelayakan akademik, termasuk penggunaan platform PSH berasaskan AI, Kolektif, yang menawarkan pengalaman pembelajaran diperibadikan serta pengiktirafan digital.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa walaupun AI terus mengubah cara manusia bekerja, elemen seperti integriti, kebijaksanaan, empati dan pertimbangan manusia kekal penting dalam membentuk graduan berakhlak serta pemimpin yang bertanggungjawab.

Selepas majlis perasmian, Menteri Pendidikan Tinggi turut meninjau kemudahan akademik, pembelajaran dan latihan di Universiti MAHSA bagi melihat ekosistem pendidikan yang menyokong pembangunan bakat serta agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; Pengasas merangkap Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah serta Ahli Lembaga Gabenor Universiti MAHSA, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek. – The Capital Post