CHINA 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysia memperkukuh komitmen dalam agenda transformasi digital serantau menerusi penyertaan dalam APEC Digital and Artificial Intelligence Ministerial Meeting 2026 yang berlangsung pada 23 Julai 2026 di Chengdu, China.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Mano Verabathran selaku Ketua Delegasi Malaysia bagi mesyuarat bertemakan “Digital and AI Technologies for Empowerment of the Asia-Pacific Community” yang menghimpunkan wakil daripada 21 ekonomi anggota APEC.
Perbincangan utama mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam mempercepat pembangunan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di rantau Asia Pasifik.
-Advertisement-
Malaysia turut menekankan kepentingan memperkukuh infrastruktur serta keterhubungan digital, memperluas akses teknologi bagi mengurangkan jurang digital, selain memastikan pembangunan AI dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan berlandaskan prinsip etika.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan penerimaan 2026 APEC Digital and AI Ministerial Statement atau Chengdu Statement yang menggariskan kesepakatan bersama dalam mempertingkat kesalinghubungan digital, memperluas literasi teknologi serta membangunkan ekosistem AI yang inklusif, selamat dan berdaya tahan di rantau ini – The Capital Post