PETRA Perkukuh Infrastruktur Air dan Kumbahan di Jempol

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEGERI SEMBILAN 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meneruskan usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur air dan pembetungan negara menerusi lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri PETRA ke Daerah Jempol, Negeri Sembilan.

Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Menteri PETRA, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad itu memberi tumpuan kepada pemantauan projek strategik berkaitan bekalan air, rawatan kumbahan serta penglibatan bersama agensi di bawah kementerian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan utiliti awam terus dipertingkatkan.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Projek Pembinaan Tangki Air Batu Kikir (N048 – Pakej 5) yang dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan nilai projek berjumlah RM17.6 juta. Kemudahan tersebut melibatkan pembinaan tangki air bertingkat berkapasiti 4.5 juta liter serta pemasangan sistem paip berkaitan bagi meningkatkan kapasiti simpanan dan kestabilan bekalan air.

Projek berkenaan mampu menyediakan simpanan bekalan air sehingga dua hari sekiranya berlaku gangguan kecemasan atau peningkatan permintaan, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 2,800 akaun pengguna melibatkan 13 kawasan perumahan di sekitar Pekan Batu Kikir dan kawasan berhampiran.

Lawatan turut diteruskan ke tapak cadangan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Taman Bahau (NJL-011) yang dilaksanakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) dengan kos RM6.8 juta menerusi peruntukan Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Projek tersebut melibatkan pembinaan loji rawatan kumbahan mekanikal baharu bagi menggantikan sistem sedia ada, sekali gus memastikan proses rawatan kumbahan mematuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan sebelum dilepaskan ke kawasan tadahan hulu Sungai Muar.

-Advertisement-

Dalam lawatan berkenaan, YB Timbalan Menteri PETRA turut menyempurnakan majlis pecah tanah projek yang dijadualkan bermula pada 29 Julai 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 18 bulan.

Turut diadakan sesi ramah mesra bersama warga kerja agensi di bawah PETRA termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), SPAN, PAAB serta Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memperkukuh kerjasama dalam memastikan agenda pembangunan sektor air dan tenaga negara berjalan lancar.

Lawatan kerja tersebut turut melibatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui sumbangan oleh TNB, penggantian pili cekap air oleh SPAN serta khidmat pengosongan tangki septik oleh IWK kepada komuniti setempat di Masjid Al-Hidayah, Pekan Rompin, Jempol.

PETRA terus komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur air negara dilaksanakan secara mampan serta memperkukuh pengurusan tenaga demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat – The Capital Post