Thinalan Umum Aplikasi “Aduan Seremban Jaya”, Janji Percepat Penyelesaian Isu Rakyat

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN JAYA, 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Seremban Jaya, Thinalan T. Rajagopalu, mengumumkan aplikasi “Aduan Seremban Jaya”, sebuah platform berasaskan aplikasi dan WhatsApp Bot yang bertujuan memudahkan penduduk menyalurkan aduan serta berhubung terus dengannya berhubung isu-isu tempatan.

Menurut Thinalan, inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan setiap aduan berkaitan kebajikan, kemudahan awam dan permasalahan setempat dapat diterima serta ditangani dengan lebih pantas dan berkesan.

Beliau berkata, antara rungutan utama yang diterima daripada penduduk ialah kelewatan dalam urusan bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain masalah infrastruktur awam yang mengambil masa sehingga empat bulan untuk diselesaikan selepas dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Thinalan mendakwa keadaan tersebut berlaku sepanjang 18 tahun pentadbiran kawasan itu di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Harapan. Sehubungan itu, beliau berjanji akan memastikan setiap aduan rakyat Seremban Jaya diberikan perhatian segera dan diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat.

-Advertisement-

Pelancaran aplikasi “Aduan Seremban Jaya” merupakan antara 10 manifesto yang ditawarkan Thinalan kepada pengundi N24 Seremban Jaya bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

Selain aplikasi aduan tersebut, sembilan lagi manifesto yang dikemukakan beliau ialah menyalurkan gaji ADUN kepada Tabung Seremban Jaya, menaik taraf infrastruktur asas, memperkukuh perkhidmatan keselamatan polis dan komuniti, menaik taraf padang rekreasi serta fasiliti sukan, menubuhkan Pusat Komuniti Seremban Jaya, menyelaras pelesenan peniaga makanan malam, melaksanakan urus tadbir yang baik, menyediakan bantuan pendidikan kepada golongan muda Seremban Jaya serta memperkenalkan program pembangunan kemahiran belia.

Seramai 33,015 pengundi layak mengundi bagi kerusi DUN N24 Seremban Jaya pada 1 Ogos, termasuk 2,018 pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun yang dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya kawasan itu. – The Capital Post.