KOTA KINABALU 26 Julai 2026, (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mencatat satu lagi perkembangan penting dalam memperkukuh keupayaan operasi maritim negara menerusi penamaan rasmi kapal baharu, KM BENDAHARA yang berlangsung di Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah.
Majlis Penamaan Kapal Maritim Malaysia itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, dengan turut dihadiri YBhg. Datin Che Norshina binti Mohd. Hashim yang bersama-sama menyempurnakan acara simbolik penamaan kapal berkenaan.
Pengoperasian KM BENDAHARA merupakan langkah strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan aset maritim negara bagi menyokong pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan. Kapal tersebut dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan tugas melibatkan penguatkuasaan undang-undang maritim, operasi mencari dan menyelamat, kawalan keselamatan sempadan serta perlindungan kedaulatan perairan Malaysia.
-Advertisement-
KDN menerusi komitmen berterusan akan terus memperkasakan agensi-agensi di bawah kementerian dengan mempertingkatkan keupayaan aset, operasi dan kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memastikan aspek keselamatan, kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara terus dipelihara melalui pengukuhan sistem penguatkuasaan yang cekap dan berkesan. – The Capital Post