PORT DICKSON, 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan bakal memperkenalkan inisiatif baharu bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi program berasaskan Work Based Learning (WBL).
Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin, berkata program itu memberi peluang kepada veteran yang masih berkeupayaan untuk bekerja, khususnya mereka yang berusia sekitar 40 hingga 50 tahun, menjalani latihan industri sebelum diserap ke dalam sektor pekerjaan.
Menurut beliau, kerajaan akan menyediakan elaun sebanyak RM2,000 sebulan selama setahun kepada peserta yang menyertai program tersebut.
“Peserta akan menjalani latihan bersama industri selama enam bulan sebelum dinilai dan ditawarkan pekerjaan mengikut kemahiran serta pengalaman yang dimiliki,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran ATM.
Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila sesi ramah mesra itu mendapat sambutan menggalakkan daripada veteran ATM yang hadir bersama rakan-rakan seperjuangan masing-masing.
-Advertisement-
“Alhamdulillah, hari ini sesi ramah mesra ini turut dihadiri oleh veteran ATM bersama rakan-rakan seperjuangan mereka. Kehadiran ini menunjukkan bahawa kita sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan veteran yang telah banyak berjasa kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 4,500 peluang pekerjaan dikenal pasti untuk ditawarkan kepada veteran menerusi kerjasama strategik bersama sektor industri.
Selain itu, peserta turut berpeluang memperoleh pensijilan diploma menerusi pendekatan Work Based Learning, dengan kos latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Beliau yakin pengalaman, disiplin dan kemahiran yang dimiliki veteran ATM mampu terus dimanfaatkan dalam pelbagai sektor sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. – The Capital Post