AEON Charity Run Tarik Lebih 3,500 Peserta

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 27 Julai 2026 (The Capital Post) – AEON Charity Run 2026 anjuran Yayasan AEON Malaysia (MAF) berjaya menghimpunkan lebih 3,500 peserta dalam acara larian amal yang berlangsung di Dataran Wawasan, Putrajaya, sekali gus memperkukuh usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan menyokong pelbagai inisiatif kebajikan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, yang dalam ucapannya menggesa masyarakat menjadikan amalan menjaga kesihatan sebagai budaya serta tanggungjawab bersama. Beliau turut mengiktiraf komitmen Yayasan AEON Malaysia yang berjaya meningkatkan jumlah penyertaan kepada 3,530 orang berbanding 2,400 peserta pada edisi tahun lalu.

Mengangkat tema “Magentara – Feel the Pulse of Giving”, program tersebut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong pelbagai program kemasyarakatan Yayasan AEON Malaysia yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kesejahteraan komuniti, bantuan bencana, sokongan sosial serta pemeliharaan alam sekitar.

Acara dimulakan dengan pelepasan peserta bagi kategori larian sejauh 10 kilometer dan lima kilometer yang berlangsung pada awal pagi berhampiran bangunan Kementerian Kewangan. Ribuan peserta yang mengenakan baju berwarna magenta mewarnai suasana sambil menyertai larian dengan penuh semangat.

-Advertisement-

Selain aktiviti larian, program itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan dana kepada 10 rumah dan pertubuhan kebajikan terpilih sebagai sebahagian daripada usaha membantu golongan yang memerlukan. Bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan keperluan asas penerima serta membuka peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Turut hadir memeriahkan program ialah Presiden Yayasan AEON Malaysia merangkap Pengerusi AEON Credit Service (M) Berhad, Encik Ng Eng Kiat; Pengerusi AEON CO. (M) BHD, Datuk Iskandar Sarudin; Timbalan Presiden Yayasan AEON Malaysia merangkap Pengarah Urusan AEON CO. (M) BHD, Encik Tsugutoshi Seko; serta Timbalan Presiden Yayasan AEON Malaysia merangkap Pengarah Urusan AEON Credit Service (M) Berhad, Encik Daisuke Maeda. – The Capital Post