Hari Keluarga ATM Perkukuh Semangat HANRUH

Estimate Reading Time: < 1 minute

PORT DICKSON 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan terus memperkukuh komitmennya terhadap kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penganjuran Program Kesejahteraan Warga ATM Karnival Hari Keluarga Zon Port Dickson yang telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Program berkenaan menghimpunkan anggota ATM bersama keluarga dalam pelbagai aktiviti yang menitikberatkan amalan gaya hidup sihat, sekali gus menjadi wadah memperkukuh hubungan kekeluargaan serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga pertahanan.

Menurut kementerian, penganjuran program tersebut bukan sekadar memberi penekanan kepada aspek kesihatan fizikal, malah bertujuan menyemai nilai kerjasama, perpaduan dan semangat kekitaan yang menjadi tunjang kepada keberanian, disiplin serta kesetiaan anggota ketika melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan negara.

-Advertisement-

Seiring dengan aspirasi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), Kementerian Pertahanan turut berusaha memperluaskan penglibatan masyarakat dalam program seumpama ini bagi mengeratkan hubungan antara ATM dan rakyat. Pendekatan itu dilihat mampu meningkatkan kesedaran bahawa usaha mempertahankan negara merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat.

Program tersebut mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh kesejahteraan warga ATM di samping membina sinergi yang lebih erat antara pasukan keselamatan dan masyarakat demi memperkasakan penghayatan budaya HANRUH secara menyeluruh. – The Capital Post