IPR–INTAN PERHEBAT Perkasa Ekonomi Veteran ATM

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA KUBU BHARU 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari, mengadakan lawatan kerja ke projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR–INTAN) PERHEBAT di Kem Erskine hari ini bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek yang bertujuan memperkukuh kesejahteraan ekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam menyediakan peluang kerjaya kedua yang mampan kepada veteran menerusi pemerkasaan sektor pertanian komersial, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi golongan berkenaan.

Projek IPR–INTAN PERHEBAT yang mendapat sokongan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertahanan memberi tumpuan kepada pembangunan tanaman cili bara secara komersial dan berkelompok. Bermula September ini, projek seluas empat ekar itu akan diusahakan oleh sembilan veteran ATM dengan kapasiti penanaman sehingga 16,000 pokok cili bara.

-Advertisement-

Inisiatif tersebut dijangka bukan sahaja membuka peluang kepada lebih ramai veteran untuk menceburi bidang keusahawanan tani, malah menyokong usaha kerajaan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui peningkatan pengeluaran hasil pertanian tempatan.

Turut mengiringi lawatan itu ialah Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Brigedier Jeneral Hj. Mohd Sam Mohd Yusof TUDM; serta Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Mahamad Fazli Mat Idris. – The Capital Post