PUTRAJAYA 28 Julai 2026, (The Capital Post) – Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, hari ini melancarkan OECD Economic Surveys: Malaysia 2026, penerbitan kelima oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mengenai Malaysia sejak 2016, sekali gus mencerminkan kerjasama strategik berterusan dalam memperkukuh dasar ekonomi negara.
Laporan edisi 2026 memberi penekanan kepada tema “Improving Skills, Education and Training”, yang menggariskan kepentingan pembangunan modal insan, peningkatan produktiviti serta transformasi digital sebagai pemacu utama ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.
Pelancaran laporan tersebut berlangsung bertepatan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menjadi rangka kerja utama kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Dalam ucapannya, Akmal Nasrullah berkata laporan berkenaan bukan sekadar menjadi bahan rujukan, malah berfungsi sebagai panduan penting dalam memperkukuh pelaksanaan reformasi ekonomi negara. Beliau berkata cadangan yang dikemukakan oleh OECD akan dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan ekonomi, mempercepatkan transformasi digital, memperkasa sistem pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperkukuh tadbir urus dan mempercepat usaha penyesuaian terhadap perubahan iklim.
-Advertisement-
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian status negara berpendapatan tinggi tidak seharusnya diukur melalui statistik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, peluang pekerjaan yang berkualiti, perkhidmatan awam yang lebih cekap serta kesejahteraan yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Kementerian Ekonomi akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa seperti OECD bagi memastikan setiap dasar dan reformasi yang dilaksanakan berasaskan bukti, memberi impak tinggi serta mempercepatkan pencapaian aspirasi Ekonomi MADANI ke arah Malaysia yang lebih makmur dan inklusif. – The Capital Post