Persiapan Hari Kebangsaan 2026 Diperkukuh

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Persiapan awal bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2026 diperkukuh menerusi sesi taklimat kontinjen dan lawatan tapak yang melibatkan wakil daripada pelbagai kementerian serta agensi kerajaan bagi memastikan kelancaran penganjuran sambutan di Perbadanan Putrajaya.

Taklimat tersebut diadakan bagi memberi penerangan menyeluruh mengenai perancangan awal di lokasi sambutan, termasuk aspek penyelarasan logistik, pengurusan kontinjen dan penggunaan ruang yang melibatkan semua kementerian serta agensi yang mengambil bahagian.

Antara perkara yang dibentangkan ialah pelan keseluruhan tapak sambutan, pembahagian zon utama, laluan pergerakan, lokasi penempatan kontinjen serta penyusunan ruang bagi memastikan setiap persediaan dapat dilaksanakan secara teratur dan sistematik.

-Advertisement-

Peserta turut diberikan maklumat terperinci mengenai garis masa pelaksanaan kerja-kerja logistik serta susunan detik hitung sebagai panduan kepada semua kontinjen dalam membuat persiapan bagi latihan persembahan dan perarakan yang akan bermula sebaik sahaja tapak rasmi diserahkan.

Taklimat dan lawatan tapak ini dijangka dapat memperkukuh koordinasi antara kementerian dan agensi terlibat, sekali gus memastikan segala persiapan berjalan lancar menjelang Sambutan Hari Kebangsaan 2026. – The Capital Post