KUCHING 31 Julai 2026, (The Capital Post) – Program STEM Camp MOSTI 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Kuching menjadi platform memperkukuh usaha memperluaskan akses kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara inklusif kepada murid berkeperluan khas.
Program tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Dato’ Ruziah Shafei. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Instruksional, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Solehah Misron serta Guru Besar SKPK Kuching, Rosnah Jali yang meninjau pelbagai aktiviti dan berinteraksi bersama peserta serta fasilitator.
Seramai 113 murid berkeperluan khas mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti interaktif yang direka bagi memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal dan menyeronokkan. Antara pengisian yang disediakan termasuk penyerahan buku cerita Pengembaraan Dunia Nuklear, pameran Braille menerusi Program Advokasi Nuklear, Planet VR, Modul Astronomi, Roket Pijak, pencerapan matahari serta aktiviti senamrobik.
-Advertisement-
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPK Kuching dengan kerjasama Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Planetarium Negara, Pusat Sains Negara, Agensi Nuklear Malaysia, Bioeconomy Corporation dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan manfaat sains, teknologi dan inovasi dapat dinikmati secara menyeluruh. Inisiatif tersebut turut diharap dapat menyemai minat terhadap STEM serta membina keyakinan generasi muda untuk muncul sebagai pencipta dan inovator pada masa hadapan. – The Capital Post