Dewan Negara Lulus RUU Profesion Kerja Sosial 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 31 Julai 2026, (The Capital Post) – Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial 2026 (RUU PKS 2026) mencatat satu lagi perkembangan penting apabila diluluskan di Dewan Negara pada Khamis, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam memperkukuh profesion kerja sosial di Malaysia.

Bacaan kedua rang undang-undang tersebut telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, yang menegaskan usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem kawal selia lebih tersusun bagi meningkatkan profesionalisme dalam bidang kerja sosial.

Perbahasan mengenai RUU itu turut disertai 19 Ahli Dewan Negara yang mengemukakan pelbagai pandangan, cadangan serta sokongan terhadap usaha memperkasakan profesion kerja sosial sebagai bidang yang diiktiraf, beretika dan berintegriti. Penglibatan tersebut turut mencerminkan kesepakatan dalam memastikan agenda kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.

-Advertisement-

Menurut KPWKM, kelulusan RUU PKS 2026 dijangka memperkukuh ekosistem perkhidmatan sosial negara menerusi mekanisme kawal selia yang lebih profesional, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada individu, keluarga dan komuniti yang memerlukan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI ke arah membentuk masyarakat yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan. – The Capital Post