Audit Bahasa Melayu Perkukuh Amalan Penulisan Rasmi

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 31 Julai 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah menghadiri Sesi Penutupan Audit Bahasa Melayu yang diselaraskan oleh Pusat Sumber Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, Putrajaya, sebagai usaha memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kementerian.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas pelaksanaan Audit Bahasa Melayu yang berlangsung dari 27 hingga 30 Julai 2026. Beliau turut menegaskan supaya setiap dapatan audit dimanfaatkan sebagai panduan bagi meningkatkan kualiti penggunaan Bahasa Melayu secara berterusan di samping memperkukuh kerjasama strategik antara kementerian dan DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pada majlis yang sama, Ketua Juruaudit DBP, Abd. Karim A. Bakar membentangkan hasil audit yang merangkumi aspek tatabahasa, penggunaan kosa kata, kesantunan bahasa serta format penulisan rasmi. Pembentangan tersebut turut disertakan contoh dokumen kementerian sebagai rujukan bagi tujuan penambahbaikan dan pemantapan amalan penulisan.

-Advertisement-

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Datuk Aminurrahim Mohamed; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai; Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Harun Ali serta Ketua Pusat Sumber merangkap Penyelaras Audit Bahasa Melayu Kementerian Komunikasi, Nor Syafinaz Samsudin. – The Capital Post