KUANTAN 2 Ogos 2026, (The Capital Post) – Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Nur Hafis Abdul Karim TUDM dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Muhammad Tarminzi Haji Mustapha TUDM dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia, Peringkat Pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) yang membawa gelaran Dato’ Sri.
Pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-67 di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Darjah kebesaran yang sama turut dikurniakan kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azhan Md Othman serta Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan jasa mereka kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir menyaksikan istiadat tersebut ialah isteri Timbalan Panglima Tentera Udara, Datin Sri Maznah Haji Johari serta isteri Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Datin Sri Aida Ibrahim.
-Advertisement-
Pengurniaan darjah kebesaran itu mencerminkan penghargaan terhadap khidmat bakti, kepimpinan serta sumbangan berterusan para penerima dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara dan memartabatkan Angkatan Tentera Malaysia.
Panglima Tentera Udara bersama seluruh warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran S.S.A.P., termasuk Panglima Tentera Darat, Timbalan Panglima Tentera Udara, Panglima Angkatan Bersama dan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, selain mengucapkan tahniah kepada kesemua 52 penerima darjah kebesaran dan pingat dalam istiadat berkenaan. – The Capital Post