KUALA LUMPUR 2 Ogos 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin menghadiri AI Public Sector Senior Leadership Executive Programme yang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai usaha memperkukuh keupayaan kepimpinan sektor awam dalam memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Program yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu menghimpunkan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua-Ketua Jabatan bagi memperkukuh pemahaman dan pendekatan strategik dalam penerapan AI untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan bahawa kejayaan reformasi perkhidmatan awam bergantung kepada kepimpinan yang berani membawa perubahan, membuat keputusan berasaskan data serta memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara beretika dan bertanggungjawab.
Beliau turut menekankan kepentingan pemimpin sektor awam memanfaatkan teknologi AI secara strategik tanpa mengetepikan pengalaman, kebijaksanaan serta pertimbangan manusia dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus berkualiti, cekap dan berkesan.
-Advertisement-
Program berkenaan turut diserikan dengan penganjuran Majlis Kibarkan Jalur Gemilang 2026: Kesejahteraan Dinikmati yang dianjurkan secara strategik oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Penganjuran kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh transformasi digital sektor awam, di samping menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2026. – The Capital Post