SHAH ALAM 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali mengadakan lawatan kerja ke UMW Lubetech Sdn. Bhd. bagi menilai keupayaan industri strategik tempatan dalam pembangunan serta pengeluaran minyak pelincir berkualiti tinggi yang berpotensi menyokong penyelenggaraan, logistik dan kesiapsiagaan aset pertahanan negara.
Lawatan tersebut memberi pendedahan menyeluruh terhadap keupayaan syarikat merangkumi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemudahan makmal bertauliah, sistem pengeluaran berautomasi serta pematuhan kepada piawaian dan pensijilan antarabangsa.
Keupayaan itu membuktikan bahawa industri tempatan berupaya menghasilkan produk sokongan kritikal bertaraf global yang memenuhi spesifikasi teknikal dan keperluan operasi aset pertahanan, sekali gus memperkukuh kebolehpercayaan penyelenggaraan serta daya tahan sistem sokongan logistik negara.
-Advertisement-
Selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) 2026–2030, Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan pertahanan, khususnya melibatkan pembangunan produk dan teknologi strategik berimpak tinggi.
Usaha berterusan itu diyakini mampu meningkatkan kemandirian industri pertahanan negara, mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar serta memastikan kesinambungan dan keselamatan bekalan bagi memenuhi keperluan kritikal pertahanan negara dalam jangka panjang. – The Capital Post