Maritim Malaysia Perkukuh Kerjasama Keselamatan Laut Antarabangsa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama keselamatan maritim di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan aktif pegawai kanannya dalam U.S. Pacific Command International Military Law and Operations Conference (MILOPS) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Persidangan yang memasuki edisi ke-37 itu menghimpunkan lebih 300 pemimpin ketenteraan, pakar undang-undang keselamatan, pembuat dasar serta ahli akademik daripada lebih 30 negara dan organisasi antarabangsa bagi membincangkan isu keselamatan, operasi serta cabaran strategik di rantau Indo-Pasifik.

Dalam sesi forum pada hari kedua persidangan, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Pertama Maritim Vincent Rajamony tampil berkongsi pandangan menerusi forum bertajuk “Coast Guard Cooperation: Maritime Security Across the Indo-Pacific” yang dikendalikan oleh Commander Karl Mueller daripada Pengawal Pantai Amerika Syarikat (U.S. Coast Guard).

Turut terlibat sebagai ahli panel ialah Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (MCID), Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah menerusi forum “Countering Transnational Crime at Sea” yang memberi tumpuan terhadap usaha menangani jenayah rentas sempadan di laut.

Perbincangan tersebut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam membanteras pelbagai ancaman maritim termasuk penyeludupan, pemerdagangan manusia, aktiviti perikanan haram serta jenayah terancang yang boleh menjejaskan keselamatan perairan serantau.

-Advertisement-

Penglibatan Maritim Malaysia dalam persidangan berkenaan membuktikan pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman agensi dalam bidang penguatkuasaan maritim, selain membuka ruang memperluas jaringan kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa.

MILOPS 2026 yang bertemakan “From the Seabed to Space: Advancing Security, Freedom, and Prosperity for All Across the Indo-Pacific” dianjurkan oleh United States Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penyertaan aktif Maritim Malaysia dalam platform antarabangsa ini selaras dengan komitmen agensi untuk memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, meningkatkan kerjasama pelbagai hala serta memastikan keselamatan dan kestabilan Zon Maritim Malaysia serta rantau Indo-Pasifik terus terpelihara. – The Capital Post