MBSJ Perkasa Pengurusan Strata Digital Melalui eSTRATA

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUBANG JAYA, 5 Ogos 2026 (The Capital Post) – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkukuh agenda transformasi digital dalam pengurusan strata menerusi penganjuran Seminar Strata Technique Approach Toward Resilient (MY-STAR) yang menghimpunkan 100 peserta terdiri daripada wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di bawah pentadbirannya.

Seminar tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kefahaman serta keupayaan pengurusan strata melalui penggunaan teknologi digital, khususnya pelaksanaan Sistem eSTRATA KPKT dan penambahbaikan Sistem e-COB dalam usaha mempertingkat kecekapan pentadbiran, ketelusan serta penyampaian perkhidmatan kepada komuniti.

MBSJ turut mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang tampil sebagai perintis dalam pelaksanaan Sistem eSTRATA KPKT. Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen MBSJ dalam mempercepat pendigitalan pengurusan strata ke arah sistem yang lebih tersusun, efisien dan responsif.

Antara pengisian utama seminar melibatkan latihan penggunaan Modul Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dalam Sistem eSTRATA KPKT yang disampaikan oleh Ir. Ts. Nor Azizah Mohammed Rum, Jurutera Kanan Bahagian Pengurusan Strata, Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

-Advertisement-

Selain itu, peserta turut mengikuti sesi berkaitan pelaksanaan Sistem e-COB menerusi penambahbaikan Modul e-Perkhidmatan yang dikendalikan oleh Encik Gurjeet Singh bagi memberikan pendedahan mengenai kaedah pengurusan strata berasaskan digital.

Penganjuran MY-STAR membuktikan kesungguhan MBSJ dalam memperkasakan pengurusan strata yang moden, sistematik dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi transformasi digital negara serta usaha mewujudkan perkhidmatan bandar yang lebih cekap kepada masyarakat. – The Capital Post