GEMA Selangor Serlah Bakat Murid Asrama

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – Festival Generasi Madani (GEMA) Asrama Sekolah Harian Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 berjaya menghimpunkan bakat dan kreativiti murid asrama menerusi pelbagai pertandingan yang menampilkan aspek keilmuan, seni serta kebudayaan.

Program yang berlangsung pada 6 Ogos 2026 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dan Sektor Sumber Teknologi Maklumat (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu melibatkan penyertaan murid asrama sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri.

Festival tersebut menampilkan pertandingan hafazan, tazkirah, trio berselawat, kuiz ilmuan cilik, nyanyian duo atau duet serta persembahan tarian kebudayaan sebagai platform mencungkil potensi murid dalam pelbagai bidang.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Tuan Haji Yusaini Salleh. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Asrama Harian, Sektor Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Saiful Effendi Mohd Zahari serta pegawai pendidikan negeri dan daerah.

-Advertisement-

Penganjuran GEMA 2026 turut memberi pengiktirafan kepada para pemenang dan peserta terbaik yang akan mewakili Negeri Selangor ke peringkat kebangsaan. Program ini diharapkan dapat terus menjadi wadah membentuk generasi murid yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan yakin diri selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor merakamkan penghargaan kepada semua peserta, guru pembimbing, warga asrama sekolah harian, jawatankuasa pelaksana serta semua pihak yang menjayakan festival tersebut sebagai usaha memperkukuh pembangunan sahsiah dan potensi murid. – The Capital Post